KUALA LUMPUR: Akibat terkejut apabila melihat cucunya dicampak oleh suaminya dari tingkat 10 sebuah pangsapuri, seorang nenek berusia 85 tahun maut kerana serangan jantung di Pangsapuri Impian Baiduri di sini, semalam.Kejadian berlaku pada jam 5.30 petang apabila cucu mangsa, V Nirmala Devi, 41, yang bergaduh dengan suaminya, B Paramasiram, 33, dipukul sebelum dicampak ke bawah bangunan terbabit. Nirmala terbunuh dalam kejadian itu.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian hanya neneknya saja yang berada di rumah terbabit.“Nirmala bekerja di kilang berdekatan sering bergaduh dengan suaminya yang tinggal di rumah mereka di tingkat 17 pangsapuri berkenaan.
“Ketika kejadian dia pergi ke rumah ibunya di tingkat 10 pangsapuri ini untuk mengelak daripada dipukul suaminya yang dipercayai tidak bekerja,” katanya.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Berita Harian, 13 Mei 2007