Monday, December 3, 2007

Jangan rosakkan dengan kasih sayang



Oleh: SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM


Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan-pasangan (jodoh) bagi kamu dari (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu... (Ar-Rum: 21).

Daripada mafhum ayat di atas jelas bahawa Islam amat menggalakkan perkahwinan yang menyempurnakan keperluan tabii manusia yang memerlukan pasangan hidup. Perceraian pula satu perkara halal yang paling dibenci.

Hidup berkeluarga merupakan satu tuntutan agama dan juga antara sunah Rasulullah sehingga di dalam hadis baginda s.a.w ada menyebut:
“Apabila seseorang itu berkahwin maka ia telah menyempurnakan sebahagian agamanya dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan yang sebahagian lagi”.

Keluarga adalah kelompok paling kecil dalam masyarakat, sekurang-kurangnya dianggotai oleh suami dan isteri atau ibu bapa dan anak-anak. Ia adalah asas pembentukan sesebuah masyarakat. Kebahagiaan masyarakat adalah bergantung kepada setiap keluarga yang menganggotai masyarakat.

Kualiti setiap individu yang dibentuk oleh keluarga sangat mempengaruhi jatuh bangun sesebuah tamadun. Namun, bilangan kes penceraian melibatkan pasangan Islam di negara ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Di sini, timbul persoalan, adakah kahwin dan cerai sudah menjadi gaya hidup masa kini?

Suatu masa dahulu, pasangan yang bercerai menanggung malu. Perasaan itu turut ditanggung ahli keluarga yang lain. Hal ini disebabkan satu tanggapan bahawa pasangan yang bercerai berpunca daripada sesuatu sikap yang tidak baik seperti suami atau isteri curang, mengamalkan sikap tidak baik, masalah tenaga batin dan sebagainya.

Isu rumah tangga semakin kronik, antara lain berpunca daripada rapuhnya institusi keluarga yang berkemungkinan kerana usia pasangan masih muda, tidak mahu bertolak ansur, tiada persefahaman dan ego yang meletakkan pasangan suami isteri di tembok kekeliruan sukar dibendung.

Keluarga merupakan institusi penting yang sewajarnya dipandang serius oleh ibu bapa untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Bermula dari keluarga yang bahagia dan harmoni akan terbentuk masyarakat yang cemerlang dan dihormati.

Keharmonian dan kebahagiaan keluarga akan dapat membendung gejala sosial yang semakin menjadi-jadi seperti sumbang mahram, seks bebas, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Di atas kesedaran inilah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan Seminar Pemantapan Keluarga di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia bertujuan membincangkan senario institusi keluarga masa kini yang semakin kronik, mengenai cabaran dan penyelesaian menurut perspektif Islam.

Seramai 550 orang peserta daripada kakitangan kerajaan dan badan berkanun serta agensi swasta menyertai seminar sehari itu bagi memberi maklumat dan panduan pengurusan konflik dalam institusi keluarga.

Seminar ini juga bertujuan memperjelaskan hak-hak dan tanggungjawab suami isteri serta memperkasakan kebahagiaan dan kecemerlangan institusi keluarga.

Menurut Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sharifah Zahrah Syed Mohamad, antara cabaran yang paling besar dalam melayari bahtera rumah tangga ialah kemewahan dan kebendaan, kejahilan tentang tujuan hidup berkeluarga dalam Islam, pengabaian tanggungjawab di kalangan ahli keluarga serta kurangnya didikan agama.

“Ibu bapa sibuk dengan kecemerlangan kerjaya dan mencari kekayaan menyebabkan anak-anak dilayan dengan hidup manja dam mewah hingga ketahanan diri anak-anak remaja kita luntur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dengan masalah sosial,” katanya dalam ceramah pagi itu.

Filem Anakku Sazali arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan contoh yang paling tepat menggambarkan kesalahan ibu bapa dalam memberikan kasih sayang dengan mencurahkan kemewahan yang melimpah ruah kepada anak-anak. Sehingga menyebabkan mereka lupa untuk bersyukur dan lupa akan tanggungjawab yang sebenar.

Ibu bapa sepatutnya menjadikan kekayaan sebagai salah satu platform untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi hamba yang merendah diri serta tidak angkuh,” jelasnya.

Tambah Sharifah, perkahwinan yang dibina atas dasar nafsu semata-mata dan satu fitrah hidup manusia sahaja dan bukannya dibina kerana Allah dan tuntutan agama boleh meruntuhkan sesebuah perkahwinan dalam masa singkat.

Selain itu, pengaruh persekitaran, budaya barat serta rakan sebaya dan pengaruh hedonisme yang melampau turut menjadi cabaran yang perlu ditangani ahli keluarga.

Status kerjaya dan pendapatan yang berbeza antara suami isteri, kos sara hidup yang tinggi, perkahwinan yang tidak direstu serta kesihatan diri dan hubungan seksualiti yang tidak baik boleh menjadi faktor kerapuhan rumah tangga sehingga berlaku perceraian.

Oleh itu, jelas Sharifah, tiga resipi kebahagiaan perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga dalam memainkan peranan masing-masing demi mempertahankan kebahagiaan yang dibina bersama.
Peranan yang paling utama ialah suami sebagai ketua dalam keluarga yang mampu mendidik anak dan isteri untuk mengenali Allah di samping bantuan daripada isteri solehah yang tahu akan tanggungjawab untuk sama-sama mendekatkan diri kepada Allah sehingga dapat melahirkan anak-anak yang soleh yang taat pada perintah Allah dan ibu bapanya.

“Sekarang ini kita lihat ramai ibu bapa melepaskan tanggungjawab kepada guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka disebabkan desakan kerja atau dengan alasan tidak cukup ilmu,’’ katanya.

Justeru, semua cabaran itu boleh ditangani jika keluarga dibina atas rasa cinta yang ikhlas kerana Allah sebagai matlamat seluruh keluarga. Jadikan keredaan Allah sebagai matlamat seluruh ahli keluarga dan meletakkan hala tuju masa depan keluarga yang jelas.

Apa yang paling utama, setiap ahli keluarga perlu menitikberatkan soal agama dan iman serta memupuk mereka dengan nilai akhlak yang mulia.

“Selain itu, mencari rezeki yang halal juga merupakan perkara penting supaya sesebuah institusi kekeluargaan itu diberkati dan dirahmati Allah,” ujarnya.

Di akhir ceramah, beliau berpendapat kebahagiaan dan kecemerlangan institusi keluarga dalam Islam adalah memenuhi keperluan jasmaniah dan batiniah atau dunia dan akhirat. Ketenangan, kecintaan dan kasih sayang merupakan intipati kepada kecemerlangan sesebuah rumahtangga.

Maka, satu anjakan paradigma dari sikap yang buruk dan pengaruh jahiliah kepada acuan Islam yang pastinya memandu kita mewujudkan keluarga Islam yang harmoni lagi cemerlang dan berpegang pada al-Quran dan sunah sebagai petunjuk hidup kita.
Sumber: Utusan Malaysia, ruangan agama, 4 Disember 2007