IBU... hadirnya dalam hidup bagaikan penyeri suka ataupun duka. Kasih sayangnya sukar untuk dijangkau. Malah segunung intan permata sekalipun tidak mampu membalas pengorbanan seorang ibu.
Justeru tanggal 11 Mei setiap tahun diangkat sebagai hari paling istimewa untuk memperingati jasa ibu.
``Tiada yang lebih membahagiakan seorang ibu melainkan melihat kebahagiaan anak-anaknya,'' kata tokoh ,Ibu Mithali 2002, Kalsom Abdullah.
Kalsom 63, disunting oleh jejaka pilihan hati, Ismail Chik ketika dara sunti lagi. Waktu itu usianya baru mencecah 15 tahun. Namun usia tidak pernah menjadi penghalang kepadanya untuk membesarkan anak-anak sehingga berjaya.
Mengulas lanjut katanya, kasih seorang ibu terhadap anak bermula sejak dalam kandungan lagi.
Anak-anak jelasnya, perlu dilayan dengan tutur kata yang sopan dari kecil sehinggalah dewasa.
``Janganlah sesekali membezakan lelaki dengan perempuan. Cakaplah benda yang baik-baik dengan anak-anak... insya-Allah mereka akan menjadi insan yang mulia,'' katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor.
Berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang, Kalsom hanya mempunyai pendidikan setakat darjah enam di sekolah Melayu. Hasil perkahwinan selama `46' tahun dengan Ismail Chik, pasangan itu dikurniakan 15 orang cahaya mata.
Ibu mana yang tidak bahagia melihat semua anaknya berjaya melangkah ke menara gading. Tetapi Kalsom tetap merendah diri malah sehingga hari ini dia masih menganggap dirinya terlalu kerdil untuk dinobat sebagai Ibu Mithali.
Mengimbas kenangan silam katanya, pernah suatu ketika dapurnya tidak berasap selepas kehadiran puteri sulungnya.
``Ketika itu, Mak Aji hanya merenungnya siang dan malam kerana tidak tahu hendak buat apa-apa. Maklum sahajalah usia Mak Aji ketika itu masih mentah,'' ujarnya tersenyum.
Namun doa yang tidak putus-putus ke hadrat Ilahi telah memberikan kekuatan dan ilham kepada wanita tabah ini untuk membesarkan bukan seorang tetapi 15 cahaya mata sehingga setiap satunya berjaya dalam hidup.
Menurut Kalsom, dia sering berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak leka dengan ibu yang melahirkan mereka.
``Renunglah wajah ibu setiap kali bangun pagi kerana Tuhan sentiasa mengurniakan rezeki dari ibu yang mengandung dan menyusukan kita,'' katanya lagi.
Justeru, walaupun telah kematian ibu sejak berpuluh-puluh tahun lalu, namun kasih wanita ini terhadap ibunya tetap menebal.
``Janganlah sesekali kita mengkhianati ibu walau sejahat mana pun dia. Walaupun dia kafir, kita masih perlu menyembah kakinya untuk memohon keampunan,'' kata beliau lagi.
Menurut Kalsom, tidak seorang pun anaknya yang tidak pernah disusukan.
Katanya, walau hanya setitik itulah kasih sayang paling mujarab untuk seorang anak daripada seorang ibu.
Malah dia tidak pernah segan menyuapkan nasi ke mulut anaknya sehinggalah mereka mencapai usia lima tahun semata-mata untuk memberi berkat daripada tangan ibu.
Seorang anak yang kasih kepada ibunya tidak akan melupakan ibu mereka walau di mana mereka berada, ujarnya lagi.
Bagi pakar perbidanan dan sakit puan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, Dr. Norashikin Mokhtar, cahaya mata adalah anugerah Tuhan paling berharga buatnya.
``Pada saya, anak-anak saya cukup sempurna di mata saya walaupun tidak di mata orang lain. Mereka juga adalah permata hati saya,'' katanya.
Ketika pertama kali bergelar ibu, beliau masih lagi menuntut di tahun dua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kata orang jika jodoh sudah tiba, tiada siapa dapat menghalangnya.
Justeru, lamaran Prof. Madya Dr. Aminuddin Ahmad ketika itu diterimanya dengan tangan yang terbuka.
``Ibu saya risau benar apabila saya menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.
``Maklum sahajalah saya masih lagi menuntut pada ketika itu,'' ujarnya.
Nekad dengan keputusannya, Dr. Nora memasang cita-cita untuk membuktikan kepada ibunya dia mampu berjaya dalam pelajaran walaupun sudah mendirikan rumah tangga. Impian itu akhirnya termakbul.
Dr. Nora bukan sahaja menghadiahkan ibunya dengan keputusan cemerlang bahkan beliau turut menghadiahkan ibunya dengan cucu pertama.
``Saya ingat lagi ketika saya menimang cahaya mata pertama, saya berada di tahun empat. Kerana tidak sanggup berpisah dengan bayi saya, saya bawanya tinggal secara `tidak sah' di hostel saya menetap,'' ceritanya sambil tertawa.
Dia bersyukur walaupun terpaksa menyusu dan menjaga anaknya itu siang dan malam, namun itu semua tidak pernah menghalangnya mengejar impian menjadi seorang doktor seperti hari ini.
Malah puteri sulungnya, Liyana Damirah yang kini menuntut di Dublin, Ireland bakal mengikut jejak langkahnya tidak lama lagi.
Ibu kepada lima cahaya mata ini memegang prinsip tidak akan menyerahkan anak-anaknya ke atas jagaan orang lain.
Katanya, tiada alasan mengapa seorang ibu tidak mampu membesarkan anak-anak dalam tangan sendiri.
``Saya ni macam 7-Eleven yang sentiasa dicari pada bila-bila masa. Saya sedar ada masanya mereka mengeluh namun saya bersyukur kerana mereka tetap sabar dan memahami tugas ibunya,'' kata beliau.
Sebab itu, dia sering merancang masa dengan baik untuk memastikan anak-anaknya sentiasa mendapat perhatian. Wanita ini juga lebih senang membiarkan anak-anaknya memilih dan mencorak masa depan masing-masing.
``Tidak adil sekiranya saya mengharapkan sesuatu daripada mereka. Saya percaya, jika seseorang ibu itu ikhlas membesarkan anak-anak mereka... mereka pasti mendapat balasan yang baik daripada Allah,'' katanya.
Namun begitu, dalam kesibukan membesar dan mendidik anak-anak, ibunya adalah orang penting selain suami.
``Saya anggap ibu sebagai seorang sahabat baik yang tidak pernah jemu memberi semangat dan galakan. Pengorbanannya sukar untuk saya gambarkan melalui kata-kata,'' ujar Dr. Nora lagi.
Bagi pasangan Najlah Ishak dan Mohd. Badrul Ezam, kehadiran Adam Hakeemi pastinya menjadi penyeri dan pengikat cinta mereka.
Seperti ibu-ibu lain, ibu muda ini mengharapkan anak sulungnya itu akan menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.
``Mulanya saya tidak percaya dia anak saya. Bila diletakkan di atas perut sebaik dilahirkan, saya tergamam,'' katanya menceritakan detik-detik menjadi ibu.
Graduan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa ini juga mengakui dia masih kekok memegang bayi.
``Nasib baik ibu dan mentua saya banyak beri tunjuk ajar dan nasihat,'' ujarnya.
Menjadi seorang ibu katanya, adalah suatu proses pembelajaran yang berterusan.
Katanya, dia lebih selesa dengan pendekatan yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras dalam mendidik anaknya.
``Saya juga ingin dia menjadi sahabat tetapi pada masa yang sama menghormati saya sebagai ibu,'' katanya yang turut berharap agar putera sulungnya itu mengikut jejak suaminya yang ringan tulang.
Pengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI) di stesen TV3 itu mengakui tugas sebagai wartawan penyiaran dan pengacara sering membataskan waktu untuk bersama anak.
``Walaupun saya tidak dapat meluangkan banyak masa tetapi saya akan pastikan setiap saat kami bersama... saya akan sentiasa membahagiakannya,'' kata pengacara itu lagi.