Friday, January 8, 2010

Jerat Alam Siber

Jerat alam siber
Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my





Kandungan porno, seks dilayari lebih 14 juta kanak-kanak seluruh dunia sepanjang 2009

TATKALA tirai 2009 dilabuhkan dengan pencapaian membanggakan lebih 28,000 pelajar memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) seperti yang diumumkan baru-baru ini, hasil tinjauan Norton dari Symantec, syarikat perisian antivirus terhadap 100 laman web kegemaran kanak-kanak sepanjang tahun lalu tidak harus di pandang sepi.

Fakta yang perlu diberi perhatian hasil daripada tinjauan Norton ialah bagaimana kandungan seks dan porno kekal di tempat tertinggi, iaitu pada tempat keempat dan kelima daripada 100 laman web yang paling banyak dilayari kanak-kanak sepanjang 2009.



Ini membuktikan usaha membentuk dan mengawal kandungan jenis porno dan seks daripada dilayari 14.6 juta kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia termasuk Malaysia hari ini, masih gagal.

Peningkatan jumlah laman web berunsurkan porno dan seks di lihat semakin rancak ditambah lagi dengan pengenalan pelbagai saluran yang 'membantu' menarik perhatian kanak-kanak ini seperti aliran video dalam talian serta kemudahan muat turun yang pantas.

Jika dulu kanak-kanak hanya dihidangkan gambar-gambar ‘panas’ namun kini mereka boleh berinteraksi terus sama ada secara video, berbual di ruangan sosial bagi mencari teman 'sejiwa' mereka atau menerusi permainan multimedia dalam talian yang memaparkan pakaian 'avatar' yang menjolok mata.






Tidak dinafikan beberapa laman web yang menawarkan kemudahan muat naik video untuk dikongsi antara pengguna, sudah mula memperkenalkan mode parent control atas kesedaran sosial mereka bagi menghalang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun daripada melayarinya kandungan seks atau porno.

Namun, pengenalannya hanya melepaskan batuk di tangga apabila aplikasi yang diperkenalkan untuk mengekang kandungan terbabit terlalu rapuh dan mudah untuk dilepasi dengan hanya satu 'click' oleh kanak-kanak yang semakin bijak dan lebih celik IT masa kini.

Tidak pasti sama ada ia untuk mengaburi mata golongan kanak-kanak daripada melayari kandungan itu atau ia sebenarnya lebih bertujuan mengaburi mata ibu bapa pada keselamatan kandungan laman web itu.

Yang penting, hasil kajian Norton harus menyalakan lampu merah 'amaran' kepada ibu bapa seluruh dunia untuk lebih banyak meluangkan masa membentuk peribadi anak-anak mereka dengan memantau serta duduk berbincang pada setiap kandungan laman web yang dilayari anak-anak mereka.


IBU BAPA dan orang dewasa perlu lebih mengawal kegiatan anak ketika melayari laman web kegemaran mereka.

Tinjauan itu turut membuktikan walaupun tiga capaian laman web tertinggi 2009 diterajui oleh YouTube, Google dan Facebook, ibu bapa tidak harus leka dan perlu lebih licik daripada anak-anak mereka dalam dunia IT kini.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din yang mengulas kecenderungan kanak-kanak melayari laman web ‘tidak sihat’ berkata, kajian memperlihatkan corak penerokaan ilmu, kemahiran, pengalaman dan kaedah pembelajaran yang mengisi 'kedahagaan' kanak-kanak masa kini mencari maklumat.

Katanya, pemikiran ortodoks atau malu berbincang secara terbuka berhubung seks dengan anak-anak, masih menyelubungi masyarakat Malaysia yang mengundang padah apabila kanak-kanak mencari sumber maklumat di luar daripada kelompok ilmu yang boleh dipercayai lebih-lebih lagi apabila ia mudah untuk diperoleh di hujung jari mereka.

Beliau menambah, hanya kira-kira 10 hingga 15 peratus ibu bapa di Malaysia berfikiran terbuka untuk membincangkan topik ‘taboo’ ini secara bertentangan mata. Namun, hakikatnya selebihnya lebih gemar menggelengkan kepala menyebabkan kanak-kanak lebih malu bertanyakan soalan berkaitan seks kepada ibu bapa.

"Kanak-kanak yang melayari alam siber, umpama berada di tengah hutan dan ibu bapa seharusnya melengkapkan diri dengan kemahiran komputer bagi membimbing dan melindungi anak-anak mereka daripada terpengaruh dengan apa yang dilihatnya dalam internet.

"Sekiranya, ibu bapa membiarkan kanak-kanak bebas dalam alam siber ini, maka dikhuatiri akan membuka seluas-luasnya ruang untuk mereka rosak bahkan lebih teruk apabila menjadi mangsa jenayah siber seperti dirogol ketika temu janji 'blind date' seperti yang kerap berlaku di luar negara," katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Mohd Fadzil berkata, apa yang boleh dilakukan adalah menjadikan laman web yang boleh dipercayai sebagai rakan kepada anak-anak mereka dan berbincang berhubung kandungan yang boleh dilayari kanak-kanak.

Katanya, jangan sesekali menghalang terus anak-anak menggunakan internet kerana ia akan membantutkan pembangunan ilmu mereka.

"Pendekatan terbaik adalah dengan menjadikan ibu bapa sentiasa ke depan dalam selok belok IT berbanding anak mereka menerusi usaha memahami kandungan laman web kegemaran mereka dan menyediakan perisian yang sesuai untuk komputer rumah mereka," katanya.

Penyokong Keselamatan Internet Norton, Marian Merritt pula berkata, apabila berhadapan dengan ancaman dalam talian, ibu bapa perlu memberikan lebih tumpuan daripada sekadar membiarkan anak-anak melayari laman web yang mempunyai kandungan tidak senonoh.

"Itulah yang menjadikan OnlineFamily.Norton unik apabila membolehkan ibu bapa mengintai aktiviti anak-anak mereka ketika melayari internet dan membincangkan setiap kandungan internet yang menarik perhatian mereka bagi melindungi mereka dara ancaman jenayah siber," katanya.