Anugerah Ibu Malaysia bagi hargai jasa ibu
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI danSARI HERMAWATI MASRUL
Ibu Malaysia ibu cemerlang
Berlemah lembut sopan bersantun
Berusaha demi masa hadapan
Tabah harungi cabaran
Ibu Malaysia ibu gemilang
Didik generasi bela bangsa
Tabah menahan getir kehidupan
Demi anak di pangkuan
Demikianlah antara lirik lagu Ibu Malaysia yang pertama kali diperdengarkan kepada umum sempena majlis Anugerah Ibu Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Daripada lirik itu, jelas tersirat mengenai jasa ibu yang tidak berbelah bagi. Ibu umpama cahaya yang menerangi kegelapan, begitu juga keikhlasan kasih sayangnya yang tiada penghujung.
Semangat, pengorbanan dan sumbangan ibu mampu melahirkan anak-anak yang menyumbang jasa, bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, seramai tiga ibu iaitu Anis Abdullah, 65, Lim Sai Khim, 77, dan Zaharah Mahmoodin, 66, telah dianugerahkan Ibu Gemilang sempena Anugerah Ibu Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) dengan kerjasama Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia.
Pengiktirafan kepada tiga wanita ini berdasarkan peranan mereka dalam memupuk dan mendidik anak-anak yang bukan saja berjaya dalam pelajaran, bahkan cemerlang dalam mengharungi pelbagai rintangan hidup sekali gus melahirkan rumah tangga yang aman damai serta berbakti kepada masyarakat setempat.
Bagi Anis dari Muar, Johor, kecemerlangannya dalam membina keluarga yang berjaya jelas terbukti apabila kesemua anaknya seramai tujuh orang terlibat dalam kerjaya sebagai doktor perubatan.
Anak sulung Anis, Datuk Dr. Azhar Md. Noh, 43, merupakan seorang pakar bius di Hospital Ampang Puteri; kedua, Dr. Muhammad, 41, seorang pakar urologi, di hospital yang sama; ketiga, keempat dan keenam, Dr. Nor Shahidah, 40, Dr. Raha, 38, dan Dr. Nor Hafizah, 34, kini mengusahakan klinik sendiri, manakala Dr. Nor Bahiyah, 35 dan Dr. Umi Kalthum, 28, berkhidmat di Hospital Pakar Yayasan Salam.
Wanita yang lahir di dalam sebuah keluarga Cina sebelum diserahkan kepada keluarga Melayu semasa usianya mencecah tiga bulan ini memberitahu, beliau dan suami, Md. Noh Yunos sememangnya bersikap tegas dan mementingkan pendidikan sama ada duniawi dan ukhrawi seawal usia masih muda lagi.
“Sebagai ibu, tanggungjawab kita memang besar. Setiap masa walaupun ketika berkerja perlu ada perasaan ikhlas dalam memberi kasih sayang dan khidmat kepada anak bangsa.
“Saya sering memberi dorongan kepada anak-anak supaya sentiasa pandang ke hadapan dan jangan sesekali menyimpan masalah dalam hati seorang diri, pastikan sentiasa berkongsi supaya dapat diselesaikan dengan segera. Dalam pelajaran juga, kita perlu mempunyai fokus dan sentiasa membaiki kelemahan diri,’’ kata pesara guru ini.
Bagi seorang lagi penerima, Lim Sai Khim yang berasal dari Guar Cempedak, Kedah dan hanya bersekolah setakat darjah dua, beliau sentiasa tidak bertolak ansur dalam pendidikan anak-anak sama ada secara formal atau pun tidak formal.
Beliau tidak teragak-agak untuk merotan anak-anaknya jika mereka melakukan kesalahan. Hasilnya, kesemua 11 anaknya kini memegang jawatan penting sama ada di sektor awam mahupun swasta.
“Anugerah ini merupakan sesuatu yang tidak disangka kerana semua yang dilakukan sama ada dalam menguruskan rumah tangga dan berbakti kepada masyarakat adalah sesuatu yang ikhlas dan tidak pernah diminta balasan,’’ katanya.
Sementara bagi Zaharah, anugerah ini merupakan rangsangan kepada anak-anak dan cucu-cucunya supaya meneruskan kegemilangan institusi kekeluargaan yang dimilikinya sekarang terutamanya berlandaskan agama, budaya dan nilai yang baik.
Sebagai bekas guru yang amat menitikberatkan aspek keagamaan dan nilai kekeluargaan, tidak hairanlah melihat kejayaan kesemua anaknya yang telah bergelar Haji dan Hajah seawal usia yang muda. Mereka juga memiliki latar belakang pendidikan dari luar negara dan tempatan.
“Walaupun saya turut aktif di luar berpersatuan dan berbakti kepada masyarakat selain berkerjaya, namun saya sentiasa pastikan keluarga adalah nombor satu manakala anak-anak dianggap sebagai teman paling akrab.
“Kejayaan anak-anak dalam pelbagai bidang memberi kepuasan tidak ternilai kepada saya kerana inilah impian saya sejak mereka kecil lagi dan sebab itulah saya mementingkan ilmu agama dan duniawi,’’ kata ibu kepada lapan orang anak yang berasal dari Perak ini.
Di samping itu juga seramai tujuh lagi ibu turut menerima anugerah pada majlis yang disampaikan oleh Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Sajarah Latip, 72, dari Sarawak; Ruminah Nodo @ Haji Mustaffa, 64, Johor Bahru; Prito Kaur @ Habibah Abdullah, 62, dan Raseni Suparno, 58, kedua-duanya dari Sabah serta Alice Santha Abishegam, 59, dari Kuala Lumpur menerima Anugerah Ibu Cemerlang.
Anugerah Khas Juri dimenangi oleh Dayang Rakiah Abang Ali, 62, dari Sarawak dan Lam Boon Lun @ Dr. Helen Gan, 61, dari Kuala Lumpur.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment