Oleh MD. ZAN SAARI
KEPUTUSAN peperiksaan utama dalam negara seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kini sudah diketahui, justeru pelajar serta ibu bapa kini mula mencongak apakah tindakan seterusnya dalam menentukan masa depan mereka.Kepada mereka yang berjaya, sudah tentu akan merasakan hasil usaha dan penat lelah selama ini kini berbaloi. Lebih penting lagi, mereka telah menjadi contoh terbaik bukan sahaja kepada rakan-rakan tetapi adik beradik di bawah mereka, terutamanya di sekolah rendah. Bagi mereka yang sudah berjaya dalam peperiksaan masing-masing dan mempunyai adik yang bakal menduduki peperiksaan mereka pula, anda secara tidak langsung telah menetapkan tanda aras (bench mark) kepada adik-adik anda.
Di sini secara tidak langsung, ia memberikan tekanan kepada adik-adik dan pelajar yang belum menduduki peperiksaan, untuk berjaya seperti abang-abang dan kakak mereka.Ia ditambah lagi apabila kedengaran ayat-ayat seperti “Abang/kakaknya sudah berjaya, jadi sekarang saya mahu lihat adiknya pula bagaimana” daripada ibubapa masing-masing.Akan tetapi benarkah kejayaan dalam peperiksaan seperti SPM dan STPM begitu penting sekali hingga jika ´kurang berjaya´ atau tidak seperti diharapkan, ia bermakna anda akan gagal dalam hidup atau habis begitu sahaja ?
Tentu tidak. Suasana pembelajaran sekarang sudah jauh berubah berbanding satu ketika dahulu, lantas memberikan cabaran yang cukup berbeza bukan sahaja kepada para pelajar, malah ibu bapa dan keluarga terdekat para pelajar sendiri.Dengan tekanan dan harapan yang cukup tinggi daripada ibu bapa dan persekitaran, para pelajar dari satu segi sebenarnya agak ditekan untuk berjaya di sekolah berbanding waktu dahulu.Sekadar berjaya memperolehi A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil kini tidak cukup untuk menjamin tempat mereka di sekolah yang lebih baik atau menara gading sekalipun, justeru para pelajar disogokkan pula dengan pelbagai aktiviti kokurikulum selepas sekolah bagi memastikan mereka dapat bersaing.
Jika itu tidak cukup, ibu bapa pula menghantar anak-anak ke kelas-kelas “tambahan bukan akademik” seperti pembelajaran piano dan alat muzik lain, kelas renang, seni mempertahankan diri dan sebagainya. Fenomena ini kini bukan sahaja melanda pelajar sekolah menengah tetapi juga mereka di sekolah rendah.Malah tidak keterlaluan jika dikatakan pelajar-pelajar sekolah rendah ditekan dengan lebih kuat, dengan alasan untuk memberikan mereka asas terbaik bagi memastikan mereka berjaya.Memang terdapat kewajaran berbuat denikian kerana tuntutan alam pendidikan dan kerjaya ketika ini yang begitu mencabar, hanya yang mempunyai kelebihan sahaja akan berjaya menempatkan diri mereka di kedudukan yang lebih baik. Pun begitu haruslah terdapat batasan yang perlu dipatuhi bagi memastikan anak-anak tidak akan tertekan dengan keadaan tersebut.
Sememangnya seseorang pelajar itu akan dihormati, malah menjadi terkenal sekiranya memperolehi berbelas-belas A dalam peperiksaannya, namun bukan bermakna dia yang paling hebat. Mungkin pelajar berkenaan memang pintar dalam pelajarannya namun tidak semestinya dia juga cemerlang dalam kokurikulumnya.
REAKSI IBU BAPAIa merupakan sesuatu yang normal jika ibu bapa merasa khuatir sekiranya anak-anak tidak menunjukkan keputusan seperti diharapkan mereka. Ia juga normal jika anak-anak tersebut dimarahi akibat kegagalan mereka itu.Namun harus dingat, perbuatan memarahi anak-anak tersebut (dalam kes ini pelajar sekolah rendah) perlu dilakukan secara membina bagi meningkatkan prestasi mereka, jika tidak ia akan hanya menambahkan kepada masalah sedia ada pada pelajar berkenaan.Justeru sebenarnya apa yang terbaik dapat dilakukan sekiranya anak-anak pulang ke rumah dan menunjukkan kad laporan kemajuan yang kebanyakan markahnya cantik berwarna merah ?
LAIN DAHULU LAIN SEKARANGPakar-pakar motivasi menyarankan agar ibu bapa supaya bertenang terlebih dahulu dan memotivasi anak-anak berbanding terus menyalah dan memarahi mereka. Kita tidak mahu mereka mendengar ayat-ayat seperti “ Buat habis duit aku hantar pergi sekolah” atau “ Aku hantar pergi sekolah suruh belajar, bukan bercinta” kepada anak-anak.
Anak-anak sekarang lebih terbuka mindanya serta bijak dan memerlukan pendekatan berbeza bagi membuka pintu hatinya menerima nasihat ibu bapa.Berbeza dengan pelajar sekolah menengah, mereka yang berada di sekolah rendah kadangkala mempunyai masalah kecil yang pada anda remeh, namun mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang cukup membebankan.
Antara yang sering berlaku dan menimbulkan masalah kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak: * Mengadu tentang rakan sekelas/guru
* Pulang dari sekolah dan kelihatan kecewa/marah
* Cemerlang dalam sesetengah matapelajaran, namun lemah matapelajaran lain
* Membuat kerja sekolahnya di saat akhir
* Sukar berinteraksi dengan rakan di sekolah
* Dibuli atau membuli
* Sukar memahami matapelajaran di sekolah
* Tidak suka kepada guru
* Cemburu melihat rakan mempunyai pakaian atau alatan sekolah yang lebih baik
Selepas masalah yang menimpa anak-anak anda dikenalpasti, adalah lebih mudah untuk menyelesaikannya.
TINGKATKAN KEYAKINANNYA
Ia merupakan salah satu cara terbaik bagi memperbaiki prestasinya. Selidik kemahiran yang dipunyai oleh anak-anak anda dan aplikasikannya kepada kaedah pembelajaran mereka. Jika adik beradik mereka yang lain mempunyai kemahiran berbeza, aturkan supaya mereka saling mengajar antara satu sama lain. Jangan segan atau lokek untuk memuji anak-anak anda sekiranya mereka beroleh kejayaan.
TEMUI ATAU HUBUNGI GURU
Jumpa dan berbincang dengan guru-guru anak-anak anda berhubung prestasi mereka. Tanyakan apa yang tidak kena dengan anak-anak anda, dan apa yang anda boleh lakukan untuk memperbaikinya.
TETAPKAN SASARAN
Sekiranya anak-anak berjaya dimotivasi bagi menetapkan sasaran untuk dicapai, mereka akan berusaha untuk mencapainya. Sebagai permulaan, tetapkan sasaran mudah untuk dicapai sebelum menyasarkan untuk sesuatu yang lebih besar. Pastikan juga sasaran yang mudah itu berjaya dicapai oleh mereka terlebih dahulu.
PASTIKAN ANAK ANDA CERGAS
Anak-anak zaman ini, terutamanya pelajar sekolah rendah lebih cenderung kepada permainan seperti Play Station, X Box serta peraminan di komputer peribadi dan sebagainya berbanding aktiviti fizikal.Ini menyebabkan mereka kurang mengeluarkan peluh. Sesekali, ajak dan sertai mereka dalam kegiatan permaian seperti bola sepak, badminton dan sebagainya.Tidak peru pergi jauh untuk menjalankan aktiviti kelurga yang mengeluarkan peluh. Sekiranya anda tinggal di rumah teres, ajak anak-anak anda untuk membersihkan halaman atau menanam sayuran. Senaman memperbaiki edaran darah anak-anak, sistem penghadaman serta menggalakkan aliran oksigen. Ingatkan juga mereka untuk sentiasa bersenam, walau tanpa kehadiran anda.
BERSABAR
Akan ada seribu satu masalah dalam memastikan anak-anak anda berjaya di sekolah rendahnya, namun perkara yang paling penting ialah untuk ibu bapa bersabar dalam menghadapinya. Seribu satu alasan akan diberikan oleh anak-anak dalam seribu satu keadaan, namun kuncinya adalah kesabaran.
Tokoh Ibu Mithali 2007, Hajah Eshah Din membesarkan 17 orang anaknya hingga masing-masing berjaya. Lebih membanggakan ia dilakukan dalam keadaan di mana dirinya dan suaminya hidup dalam kedaifan hingga dia terpaksa menoreh getah bagi mencari pendapatan walaupun ketika dia sarat mengandung.Jika warga emas ini berjaya melakukannya, mengapa tidak kita. Gagal di sekolah atau tidak menonjol di sekolah bukan bermakna anak ada akan gagal selamanya. Kadangkala dia akan berjaya di kemudian hari dalam hidupnya (late bloomer).
Dalam riwayat Ibu Najar, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” Jelas kini bahawa Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya berputus asa, sebaliknya melipat gandakan usaha sekiranya ditimpa sebarang kesukaran.
Kejayaan mencapai begitu banyak A dalam peperiksaan bukan jaminan untuk pelajar melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih baik, sebaliknya memerlukan kombinasi pelajaran dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.Sekiranya anak anda gagal untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajarannya di sekolah , dengan sekadar kelulusan yang sederhana sahaja, ia bukan bermakan dia akan gagal dalam kehidupannya.
Terdapat begitu banyak contoh tokoh-tokoh berjaya ketika ini merupakan pelajar yang sederehana atau mereka yang tidak belajar hingga ke peringkat tertinggi.Di negara ini, antara yang boleh dijadikan contoh ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari (Malakof Holding, Crocodile, MPH Bookstores) dan Tan Sri Lim Goh Tong (Kumpulan Genting). Melihat ke peringkat antarabangsa pula, kita dapat ambil contoh daripada Thomas Alva Edison (saintis) dan J.K. Rowling (penulis novel Harry Potter).Kesemua mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, namun mempunyai semangat untuk berjaya yang tinggi, lantas membolehkan individu-individu ini begitu berjaya kemudiannya.
Nota: Ambilan dari laman YADIM
No comments:
Post a Comment