Sunday, September 27, 2009

Tangani Kerenah Anak dengan Kasih Sayang

HAMPIR 53,000 kanak-kanak di seluruh dunia mati dibunuh pada 2002. Kajian dari banyak negara di merata dunia menunjukkan 80 hingga 98 peratus kanak-kanak menderita akibat hukuman fizikal di rumah. Menurut anggaran 2002 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 150 juta kanak-kanak perempuan dan lelaki di bawah umur 18 tahun mengalami paksaan hubungan seksual atau bentuk lain keganasan seksual. Berdasarkan anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2004, 218 juta kanak-kanak menjadi buruh, 126 juta daripadanya melakukan kerja-kerja berbahaya. Sementara itu, anggaran pada 2000 menunjukkan 5.7 juta kanak-kanak berakhir sebagai buruh paksa, 1.8 juta terjerumus dalam pelacuran dan pornografi, manakala 1.2 juta menjadi mangsa diperdagangkan.


Statistik di atas ialah beberapa penemuan yang memeranjatkan yang diperoleh daripada laporan pakar bebas untuk kajian mengenai keganasan terhadap kanak-kanak bagi Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Laporan itu disiapkan pada 2006.




“Tidak ada yang adil mengenai keganasan terhadap kanak-kanak dalam apa jua bentuk. Semua keganasan boleh dielakkan, tetapi ia berlaku di setiap negara di dunia ini tanpa mengira budaya, kelas, pendidikan, pendapatan dan asal-usul etnik,” kata Youssouf Oomar, wakil Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Malaysia. Kekecewaan disuarakan Oomar senada dengan sentimen yang terkandung dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.




Apa yang boleh diterjemahkan daripada statistik yang dipaparkan di atas ialah keganasan yang dilakukan ke atas kanak-kanak di seluruh dunia ialah pelbagai - daripada pengabaian, hukuman yang kejam serta memalukan, penderaan seksual hinggalah pembunuhan.




Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tindakan ganas sedemikian dipengaruhi banyak faktor termasuk ciri peribadi mangsa dan pelaku serta keadaan persekitaran dari segi budaya dan fizikal. Antara penemuan lain ialah sering kali kebanyakan mangsa terlalu takut untuk melaporkan insiden keganasan yang menimpa mereka. Dalam banyak keadaan, ibu bapa yang sepatutnya melindungi anak memilih berdiam diri terutama jika keganasan dilakukan pasangan atau anggota keluarga sendiri. Bagi mereka, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan tidak penting, khususnya apabila ia berkait dengan perkosaan atau bentuk lain penderaan seksual. Dalam hal ini, stigma dan menjaga maruah keluarga lebih diutamakan.




Satu lagi faktor menyumbang kepada sikap berdiam diri ialah penerimaan masyarakat terhadap keganasan sedemikian yang jelas bercanggah dengan tanggungjawab hak asasi kemanusiaan serta keperluan perkembangan kanak-kanak. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lagi, tindakan disiplin menerusi hukuman fizikal dan memalukan, buli serta gangguan seksual sering dianggap lumrah, selagi tidak ada kecederaan fizikal yang boleh dilihat atau berpanjangan.




Keganasan terhadap kanak-kanak juga menjadi terpendam kerana tidak ada cara selamat atau boleh dipercayai bagi kanak-kanak atau orang dewasa membuat laporan mengenai keganasan itu. Dengan fokus kepada penderaan kanak-kanak, Oomar yang juga wakil khas Unicef ke Brunei yakin terdapat cara lebih positif untuk mendisiplinkan kanak-kanak.“Sesetengahnya berkata mereka perlu memukul anak untuk membetulkan mereka dan ia amalan yang diterima, tetapi ada cara lebih baik untuk melakukannya. Satu cara yang positif ialah untuk duduk dengan anak itu dan menjelaskan kesilapan yang dilakukan. “Cuba fahami mengapa anak itu berkelakuan ganjil yang anda tidak senangi yang mungkin bercanggah dengan prinsip anda. Fahami anak anda, mungkin dia perlukan perhatian lebih daripada dipukul,” katanya dalam wawancara yang dibuat di pejabatnya di Wisma UN, Jalan Dungun di ibu kota, baru-baru ini.




Menurut Oomar, melayani anak dengan kasih sayang lama kelamaan akan mendatangkan perubahan kepada anak itu kerana ia dahagakan perhatian dan kasih sayang. Beliau berkata, pendera kanak-kanak perlu menyoal tindakan mereka sama ada mereka anggota masyarakat yang waras dan masyarakat perlu menolak tingkah laku keji itu. Sesetengah orang, tambahnya, mendera kanak-kanak kerana dihimpit kekecewaan dan ada juga yang melakukannya kerana ia telah begitu lama menjadi amalan.




Oomar turut berpendapat kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan termasuk di Malaysia masih kecil dan membabitkan orang yang berani membuat laporan.“Berapa banyak lagi kes yang tidak dilaporkan? Tiga kali ganda? Empat kali ganda atau lebih? Ini memerlukan kita melihat balik sesetengah undang-undang dan penguatkuasaan. “Mengapa kanak-kanak terus diculik atau hilang? Kuatkuasakan undang-undang.“Sebagai contoh, Akta Kanak-Kanak di negara ini menunjukkan kita tidak boleh menerima pembuangan bayi. Mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini mesti dipenjarakan,” katanya.




Bagaimanapun, Oomar menegaskan tanggungjawab menangani isu penderaan kanak-kanak tidak seharusnya dipikul kerajaan semata-mata.Setiap warga negara, tambahnya harus bertanggungjawab dan bertindak secara berkesan dalam menangani isu itu serta masalah lain. Oomar memberitahu pada masa sekarang, lebih ramai orang tampil untuk memaklumkan kes penderaan kerana mereka semakin memahami isu itu dan wujudnya sistem membuat laporan yang lebih cekap. “Sekarang kita melihat sistem yang lebih baik yang menjamin perlindungan identiti mangsa. Banyak kemajuan telah dibuat ada kerajaan yang membuat dasar perlindungan kanak-kanak yang sebelum ini tidak ada di kebanyakan negara.




“Banyak juga pelaburan dibuat dari segi latihan sama ada membabitkan polis, guru dan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita boleh lihat semakin banyak pihak yang menyokong usaha membasmi keganasan terhadap kanak-kanak termasuk di kalangan ibu bapa. “Kita juga melihat lebih banyak usaha termasuk di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan di seluruh dunia. Laporan mengenai keganasan terhadap kanak-kanak memberi kita maklumat untuk lebih memahami pelbagai bentuk keganasan dan sebab ia berlaku. Ia juga ada kaitan dengan kemiskinan,” tambahnya.

Friday, September 11, 2009

Suatu Perjalanan




"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, janganlupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan."


Teringat pesan ayah di suatu petang.


"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahunbersama arwah Mak.Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaanpastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI


Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :


Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka". Seorang wanita lalu bangun bertanya, 'Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?' Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah

2. Kamu kufurkan kebaikan suami.'


Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buatbiasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


YANG LEBIH, YANG KURANG


" Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahayamata. " Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab saya supaya dia buka mata. "Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriahsuasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dansana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU


"Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi." Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dariIlahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.


Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini." Ingat, kehidupan didunia adalah sementara dan jikalau kita dijodohkan, maka harus untuk mencari kebaikan dari apa jua kesalahan.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Saling berpesan-pesan kepada kebaikan..


Nota: Emel kiriman Puan Suzana Hoesni




Sunday, September 6, 2009

Pertunangan Mengikut Syariat Islam




Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.


Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama. Pertama; adakah fardu ain si lelaki ´benar-benar beres´ kerana suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan.


Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga. Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ´Queen Control´ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam.


Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.


Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya."


Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud: "Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi."


Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu. Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya.


Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.


Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua. Contohnya, orang pada zaman ´salafusaleh´, rumah tangga mereka berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga. Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ´tidak cantik´, tidak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini. Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik.


Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja. Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah tangga. Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.


Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik ialah yang terendah.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya."


Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud: "Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya."


Bersabda baginda lagi yang bermaksud: "Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya."


Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah s.a.w itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda. Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham). Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja. Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya: "Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham."


Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki. Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan. Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.


Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak. Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia. Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.


Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat. Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang. Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.


Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka jangnlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan." Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud: "Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya"