Sunday, September 27, 2009

Tangani Kerenah Anak dengan Kasih Sayang

HAMPIR 53,000 kanak-kanak di seluruh dunia mati dibunuh pada 2002. Kajian dari banyak negara di merata dunia menunjukkan 80 hingga 98 peratus kanak-kanak menderita akibat hukuman fizikal di rumah. Menurut anggaran 2002 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 150 juta kanak-kanak perempuan dan lelaki di bawah umur 18 tahun mengalami paksaan hubungan seksual atau bentuk lain keganasan seksual. Berdasarkan anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2004, 218 juta kanak-kanak menjadi buruh, 126 juta daripadanya melakukan kerja-kerja berbahaya. Sementara itu, anggaran pada 2000 menunjukkan 5.7 juta kanak-kanak berakhir sebagai buruh paksa, 1.8 juta terjerumus dalam pelacuran dan pornografi, manakala 1.2 juta menjadi mangsa diperdagangkan.


Statistik di atas ialah beberapa penemuan yang memeranjatkan yang diperoleh daripada laporan pakar bebas untuk kajian mengenai keganasan terhadap kanak-kanak bagi Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Laporan itu disiapkan pada 2006.




“Tidak ada yang adil mengenai keganasan terhadap kanak-kanak dalam apa jua bentuk. Semua keganasan boleh dielakkan, tetapi ia berlaku di setiap negara di dunia ini tanpa mengira budaya, kelas, pendidikan, pendapatan dan asal-usul etnik,” kata Youssouf Oomar, wakil Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Malaysia. Kekecewaan disuarakan Oomar senada dengan sentimen yang terkandung dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.




Apa yang boleh diterjemahkan daripada statistik yang dipaparkan di atas ialah keganasan yang dilakukan ke atas kanak-kanak di seluruh dunia ialah pelbagai - daripada pengabaian, hukuman yang kejam serta memalukan, penderaan seksual hinggalah pembunuhan.




Berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tindakan ganas sedemikian dipengaruhi banyak faktor termasuk ciri peribadi mangsa dan pelaku serta keadaan persekitaran dari segi budaya dan fizikal. Antara penemuan lain ialah sering kali kebanyakan mangsa terlalu takut untuk melaporkan insiden keganasan yang menimpa mereka. Dalam banyak keadaan, ibu bapa yang sepatutnya melindungi anak memilih berdiam diri terutama jika keganasan dilakukan pasangan atau anggota keluarga sendiri. Bagi mereka, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan tidak penting, khususnya apabila ia berkait dengan perkosaan atau bentuk lain penderaan seksual. Dalam hal ini, stigma dan menjaga maruah keluarga lebih diutamakan.




Satu lagi faktor menyumbang kepada sikap berdiam diri ialah penerimaan masyarakat terhadap keganasan sedemikian yang jelas bercanggah dengan tanggungjawab hak asasi kemanusiaan serta keperluan perkembangan kanak-kanak. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lagi, tindakan disiplin menerusi hukuman fizikal dan memalukan, buli serta gangguan seksual sering dianggap lumrah, selagi tidak ada kecederaan fizikal yang boleh dilihat atau berpanjangan.




Keganasan terhadap kanak-kanak juga menjadi terpendam kerana tidak ada cara selamat atau boleh dipercayai bagi kanak-kanak atau orang dewasa membuat laporan mengenai keganasan itu. Dengan fokus kepada penderaan kanak-kanak, Oomar yang juga wakil khas Unicef ke Brunei yakin terdapat cara lebih positif untuk mendisiplinkan kanak-kanak.“Sesetengahnya berkata mereka perlu memukul anak untuk membetulkan mereka dan ia amalan yang diterima, tetapi ada cara lebih baik untuk melakukannya. Satu cara yang positif ialah untuk duduk dengan anak itu dan menjelaskan kesilapan yang dilakukan. “Cuba fahami mengapa anak itu berkelakuan ganjil yang anda tidak senangi yang mungkin bercanggah dengan prinsip anda. Fahami anak anda, mungkin dia perlukan perhatian lebih daripada dipukul,” katanya dalam wawancara yang dibuat di pejabatnya di Wisma UN, Jalan Dungun di ibu kota, baru-baru ini.




Menurut Oomar, melayani anak dengan kasih sayang lama kelamaan akan mendatangkan perubahan kepada anak itu kerana ia dahagakan perhatian dan kasih sayang. Beliau berkata, pendera kanak-kanak perlu menyoal tindakan mereka sama ada mereka anggota masyarakat yang waras dan masyarakat perlu menolak tingkah laku keji itu. Sesetengah orang, tambahnya, mendera kanak-kanak kerana dihimpit kekecewaan dan ada juga yang melakukannya kerana ia telah begitu lama menjadi amalan.




Oomar turut berpendapat kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan termasuk di Malaysia masih kecil dan membabitkan orang yang berani membuat laporan.“Berapa banyak lagi kes yang tidak dilaporkan? Tiga kali ganda? Empat kali ganda atau lebih? Ini memerlukan kita melihat balik sesetengah undang-undang dan penguatkuasaan. “Mengapa kanak-kanak terus diculik atau hilang? Kuatkuasakan undang-undang.“Sebagai contoh, Akta Kanak-Kanak di negara ini menunjukkan kita tidak boleh menerima pembuangan bayi. Mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini mesti dipenjarakan,” katanya.




Bagaimanapun, Oomar menegaskan tanggungjawab menangani isu penderaan kanak-kanak tidak seharusnya dipikul kerajaan semata-mata.Setiap warga negara, tambahnya harus bertanggungjawab dan bertindak secara berkesan dalam menangani isu itu serta masalah lain. Oomar memberitahu pada masa sekarang, lebih ramai orang tampil untuk memaklumkan kes penderaan kerana mereka semakin memahami isu itu dan wujudnya sistem membuat laporan yang lebih cekap. “Sekarang kita melihat sistem yang lebih baik yang menjamin perlindungan identiti mangsa. Banyak kemajuan telah dibuat ada kerajaan yang membuat dasar perlindungan kanak-kanak yang sebelum ini tidak ada di kebanyakan negara.




“Banyak juga pelaburan dibuat dari segi latihan sama ada membabitkan polis, guru dan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita boleh lihat semakin banyak pihak yang menyokong usaha membasmi keganasan terhadap kanak-kanak termasuk di kalangan ibu bapa. “Kita juga melihat lebih banyak usaha termasuk di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan di seluruh dunia. Laporan mengenai keganasan terhadap kanak-kanak memberi kita maklumat untuk lebih memahami pelbagai bentuk keganasan dan sebab ia berlaku. Ia juga ada kaitan dengan kemiskinan,” tambahnya.

No comments: