Showing posts with label Konflik Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Konflik Keluarga. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

Waspada Kahwin Campur






PUTRAJAYA 25 Feb. - Golongan muda termasuk kalangan artis diingatkan supaya berfikir 'beribu kali' sebelum memasuki gerbang perkahwinan campur kerana kajian menunjukkan kejayaannya hanya 3:10.


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kajian ilmiah yang dilakukan oleh beberapa ahli sosiologi di negara ini antara 1995 hingga 1998 mendapati dalam setiap 10 perkahwinan campur, hanya tiga berjaya.


Malah, kata beliau, kegagalan perkahwinan campur amat ketara apabila melibatkan pasangan dari kalangan warga kulit putih atau mat saleh.


''Tetapi perkahwinan campur di Malaysia melibatkan si lelaki atau wanita dari kalangan bukan Islam yang kemudiannya memeluk Islam begitu berjaya berbanding kahwin campur dengan warga asing dari barat ini.


''Ini sudah jadi lumrah, jadi, orang muda termasuk kalangan artis boleh mengambil iktibar ini dan sekiranya mahu menelaah kajian ini yang turut dilengkapi dengan panduan, anda boleh mendapatkannya daripada bahagian pendaftaran perkahwinan sivil dari rekod simpanan syariah di Johor dan Wilayah Persekutuan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.


Rais ditanya pandangan beliau berhubung keretakan rumah tangga aktres Maya Karin, 31, yang dilaporkan sudah tidak sebumbung dengan suaminya.


Pelakon jelita yang mengesahkan perkara itu memberitahu, punca keretakan rumah tangganya dengan suami, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali, 41, dari Itali sebagai kesilapan mereka sendiri kerana tidak menyedari faktor perbezaan budaya sewaktu seronok bercinta.


Enggan langsung mengulas pergolakan rumah tangga yang dihadapi Maya Karin, Rais yang juga pakar perundangan dan Perlembagaan Persekutuan berkata, realitinya banyak liku yang perlu dihadapi oleh pasangan kahwin campur.


''Kegagalan perkahwinan disebabkan perbezaan budaya, agama dan cara seseorang itu dibesarkan di khalayak negara masing-masing.


''Cuma, kebanyakan perkahwinan lebih didasarkan kepada 'asmara pendek', maknanya apabila sudah melalui satu tempoh singkat, masing-masing akan menyorot balik tuntutan budaya dan agama pada sudut khalayak di mana dia dilahirkan," katanya.


Dari segi undang-undang pula, kata Rais, pasangan kahwin campur dijangka menghadapi masalah yang agak berat jika perkahwinan mereka bergolak.


''Tidak semudah itu juga untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia, dalam soal ini ia adalah lebih mudah jika melibatkan wanita yang berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia berbanding sebaliknya.


''Ini disebabkan taraf kewarganegaraan dalam Seksyen 16 dan 17 Perlembagaan Persekutuan adalah terasas pada pertimbangan kebapaan dan bukannya keibuan," katanya.


Kata beliau: ''Apatah lagi (meruncingnya perkahwinan campur) kalau pasangan terbabit ada anak, maka si bapa akan 'melarikan' anak kembali ke England dan Eropah, dan dalam soal ini, perkahwinan campur yang gagal, adalah lebih baik jika pasangan itu tiada anak."

Wednesday, October 21, 2009

Roslin tuntut cincin risik, kos pengangkutan dan kerja kahwin


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 21 Disember ini keputusan sama ada pemain badminton negara, Roslin Hashim berhak membuat tuntutan ganti rugi RM53,460 daripada bekas isteri yang dinikahinya hanya selama 12 hari.


Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Syariah, Nurul Wazeera Ahmad Dahalan bagi pihak Hakim Syarie, Mohd. Radhi Abd. Latif yang sedang berkursus.
Terdahulu, Nurul Wazeera menetapkan 20 November ini tarikh untuk Faizah Mohamad, 32, selaku defendan memfailkan bantahan awal dan hujahan bertulis terhadap tuntutan bekas suaminya itu.


Roslin, 34, atau nama penuh Muhammad Roslin Hashim yang merupakan plaintif diberi tempoh 14 hari dari tarikh tersebut untuk menjawab bantahan tersebut.


Roslin diwakili peguam syarie, Roslizam Rahim manakala Faizah diwakili peguam syarie, Mohd. Amir Nazli Hussin.


Bekas pemain No. 1 dunia itu mengemukakan tuntutan perbelanjaan yang dikeluarkan sewaktu merisik antaranya ialah cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).


Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).


Turut dituntut ialah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).


Faizah ketika ditemui pemberita memberitahu, dia tidak menyangka bekas suaminya sanggup membuat tuntutan sedemikian.


Jelasnya, pihaknya sanggup memulangkan kesemua barang hantaran sekiranya Roslin memintanya untuk berbuat demikian secara bermaruah.


''Apa yang dia buat sekarang adalah langsung tidak masuk akal dan sebagai seorang lelaki dan seorang yang pernah bergelar suami, tindakannya macam tak bermaruah. Saya tidak tahu apa maksud perkahwinan pada dia,'' katanya.


Faizah juga menyatakan, dia merasa ingin ketawa apabila melihat perincian tuntutan yang dibuat oleh bekas suaminya yang dianggap tidak munasabah.


Menurutnya, selain bantahan awal, pihaknya juga akan mengemukakan tuntutan balas.


Beberapa orang abang Faizah yang hadir pada prosiding hari ini turut meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati mereka terhadap Roslin.


''Dulu kami tidak berkata apa-apa sebab tidak mahu panjangkan cerita. Tapi dia buat macam ini, seolah-olah adik saya tiada maruah langsung. Tuntutan yang dia buat juga tak masuk akal,'' ujar abang sulung Faizah, Zaidi.


Perceraian pasangan itu mengejutkan ramai pihak bukan sahaja kerana ia berlaku 12 hari selepas bernikah tetapi Roslin dalam prosiding pengesahan perceraiannya turut bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh yang singkat itu.


Pada 12 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya memutuskan pasangan tersebut sah bercerai dan talak tersebut jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).


Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 1 Februari lalu dan lapan hari kemudian majlis bertandang di rumah Roslin di Kampung Sirih, Kota Bharu dengan wang hantaran RM15,000.


Nota:


1. Sumber-Utusan Malaysia

2. Bagaimana konflik dapat diselesaikan secara berhemah agar tidak menjejaskan nama baik kedua-dua belah pihak?