Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Perkahwinan. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

Waspada Kahwin Campur






PUTRAJAYA 25 Feb. - Golongan muda termasuk kalangan artis diingatkan supaya berfikir 'beribu kali' sebelum memasuki gerbang perkahwinan campur kerana kajian menunjukkan kejayaannya hanya 3:10.


Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kajian ilmiah yang dilakukan oleh beberapa ahli sosiologi di negara ini antara 1995 hingga 1998 mendapati dalam setiap 10 perkahwinan campur, hanya tiga berjaya.


Malah, kata beliau, kegagalan perkahwinan campur amat ketara apabila melibatkan pasangan dari kalangan warga kulit putih atau mat saleh.


''Tetapi perkahwinan campur di Malaysia melibatkan si lelaki atau wanita dari kalangan bukan Islam yang kemudiannya memeluk Islam begitu berjaya berbanding kahwin campur dengan warga asing dari barat ini.


''Ini sudah jadi lumrah, jadi, orang muda termasuk kalangan artis boleh mengambil iktibar ini dan sekiranya mahu menelaah kajian ini yang turut dilengkapi dengan panduan, anda boleh mendapatkannya daripada bahagian pendaftaran perkahwinan sivil dari rekod simpanan syariah di Johor dan Wilayah Persekutuan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.


Rais ditanya pandangan beliau berhubung keretakan rumah tangga aktres Maya Karin, 31, yang dilaporkan sudah tidak sebumbung dengan suaminya.


Pelakon jelita yang mengesahkan perkara itu memberitahu, punca keretakan rumah tangganya dengan suami, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali, 41, dari Itali sebagai kesilapan mereka sendiri kerana tidak menyedari faktor perbezaan budaya sewaktu seronok bercinta.


Enggan langsung mengulas pergolakan rumah tangga yang dihadapi Maya Karin, Rais yang juga pakar perundangan dan Perlembagaan Persekutuan berkata, realitinya banyak liku yang perlu dihadapi oleh pasangan kahwin campur.


''Kegagalan perkahwinan disebabkan perbezaan budaya, agama dan cara seseorang itu dibesarkan di khalayak negara masing-masing.


''Cuma, kebanyakan perkahwinan lebih didasarkan kepada 'asmara pendek', maknanya apabila sudah melalui satu tempoh singkat, masing-masing akan menyorot balik tuntutan budaya dan agama pada sudut khalayak di mana dia dilahirkan," katanya.


Dari segi undang-undang pula, kata Rais, pasangan kahwin campur dijangka menghadapi masalah yang agak berat jika perkahwinan mereka bergolak.


''Tidak semudah itu juga untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia, dalam soal ini ia adalah lebih mudah jika melibatkan wanita yang berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia berbanding sebaliknya.


''Ini disebabkan taraf kewarganegaraan dalam Seksyen 16 dan 17 Perlembagaan Persekutuan adalah terasas pada pertimbangan kebapaan dan bukannya keibuan," katanya.


Kata beliau: ''Apatah lagi (meruncingnya perkahwinan campur) kalau pasangan terbabit ada anak, maka si bapa akan 'melarikan' anak kembali ke England dan Eropah, dan dalam soal ini, perkahwinan campur yang gagal, adalah lebih baik jika pasangan itu tiada anak."

Monday, December 3, 2007

Jangan rosakkan dengan kasih sayang



Oleh: SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM


Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan-pasangan (jodoh) bagi kamu dari (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu... (Ar-Rum: 21).

Daripada mafhum ayat di atas jelas bahawa Islam amat menggalakkan perkahwinan yang menyempurnakan keperluan tabii manusia yang memerlukan pasangan hidup. Perceraian pula satu perkara halal yang paling dibenci.

Hidup berkeluarga merupakan satu tuntutan agama dan juga antara sunah Rasulullah sehingga di dalam hadis baginda s.a.w ada menyebut:
“Apabila seseorang itu berkahwin maka ia telah menyempurnakan sebahagian agamanya dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan yang sebahagian lagi”.

Keluarga adalah kelompok paling kecil dalam masyarakat, sekurang-kurangnya dianggotai oleh suami dan isteri atau ibu bapa dan anak-anak. Ia adalah asas pembentukan sesebuah masyarakat. Kebahagiaan masyarakat adalah bergantung kepada setiap keluarga yang menganggotai masyarakat.

Kualiti setiap individu yang dibentuk oleh keluarga sangat mempengaruhi jatuh bangun sesebuah tamadun. Namun, bilangan kes penceraian melibatkan pasangan Islam di negara ini semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Di sini, timbul persoalan, adakah kahwin dan cerai sudah menjadi gaya hidup masa kini?

Suatu masa dahulu, pasangan yang bercerai menanggung malu. Perasaan itu turut ditanggung ahli keluarga yang lain. Hal ini disebabkan satu tanggapan bahawa pasangan yang bercerai berpunca daripada sesuatu sikap yang tidak baik seperti suami atau isteri curang, mengamalkan sikap tidak baik, masalah tenaga batin dan sebagainya.

Isu rumah tangga semakin kronik, antara lain berpunca daripada rapuhnya institusi keluarga yang berkemungkinan kerana usia pasangan masih muda, tidak mahu bertolak ansur, tiada persefahaman dan ego yang meletakkan pasangan suami isteri di tembok kekeliruan sukar dibendung.

Keluarga merupakan institusi penting yang sewajarnya dipandang serius oleh ibu bapa untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Bermula dari keluarga yang bahagia dan harmoni akan terbentuk masyarakat yang cemerlang dan dihormati.

Keharmonian dan kebahagiaan keluarga akan dapat membendung gejala sosial yang semakin menjadi-jadi seperti sumbang mahram, seks bebas, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Di atas kesedaran inilah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan Seminar Pemantapan Keluarga di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia bertujuan membincangkan senario institusi keluarga masa kini yang semakin kronik, mengenai cabaran dan penyelesaian menurut perspektif Islam.

Seramai 550 orang peserta daripada kakitangan kerajaan dan badan berkanun serta agensi swasta menyertai seminar sehari itu bagi memberi maklumat dan panduan pengurusan konflik dalam institusi keluarga.

Seminar ini juga bertujuan memperjelaskan hak-hak dan tanggungjawab suami isteri serta memperkasakan kebahagiaan dan kecemerlangan institusi keluarga.

Menurut Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sharifah Zahrah Syed Mohamad, antara cabaran yang paling besar dalam melayari bahtera rumah tangga ialah kemewahan dan kebendaan, kejahilan tentang tujuan hidup berkeluarga dalam Islam, pengabaian tanggungjawab di kalangan ahli keluarga serta kurangnya didikan agama.

“Ibu bapa sibuk dengan kecemerlangan kerjaya dan mencari kekayaan menyebabkan anak-anak dilayan dengan hidup manja dam mewah hingga ketahanan diri anak-anak remaja kita luntur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dengan masalah sosial,” katanya dalam ceramah pagi itu.

Filem Anakku Sazali arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan contoh yang paling tepat menggambarkan kesalahan ibu bapa dalam memberikan kasih sayang dengan mencurahkan kemewahan yang melimpah ruah kepada anak-anak. Sehingga menyebabkan mereka lupa untuk bersyukur dan lupa akan tanggungjawab yang sebenar.

Ibu bapa sepatutnya menjadikan kekayaan sebagai salah satu platform untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi hamba yang merendah diri serta tidak angkuh,” jelasnya.

Tambah Sharifah, perkahwinan yang dibina atas dasar nafsu semata-mata dan satu fitrah hidup manusia sahaja dan bukannya dibina kerana Allah dan tuntutan agama boleh meruntuhkan sesebuah perkahwinan dalam masa singkat.

Selain itu, pengaruh persekitaran, budaya barat serta rakan sebaya dan pengaruh hedonisme yang melampau turut menjadi cabaran yang perlu ditangani ahli keluarga.

Status kerjaya dan pendapatan yang berbeza antara suami isteri, kos sara hidup yang tinggi, perkahwinan yang tidak direstu serta kesihatan diri dan hubungan seksualiti yang tidak baik boleh menjadi faktor kerapuhan rumah tangga sehingga berlaku perceraian.

Oleh itu, jelas Sharifah, tiga resipi kebahagiaan perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga dalam memainkan peranan masing-masing demi mempertahankan kebahagiaan yang dibina bersama.
Peranan yang paling utama ialah suami sebagai ketua dalam keluarga yang mampu mendidik anak dan isteri untuk mengenali Allah di samping bantuan daripada isteri solehah yang tahu akan tanggungjawab untuk sama-sama mendekatkan diri kepada Allah sehingga dapat melahirkan anak-anak yang soleh yang taat pada perintah Allah dan ibu bapanya.

“Sekarang ini kita lihat ramai ibu bapa melepaskan tanggungjawab kepada guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka disebabkan desakan kerja atau dengan alasan tidak cukup ilmu,’’ katanya.

Justeru, semua cabaran itu boleh ditangani jika keluarga dibina atas rasa cinta yang ikhlas kerana Allah sebagai matlamat seluruh keluarga. Jadikan keredaan Allah sebagai matlamat seluruh ahli keluarga dan meletakkan hala tuju masa depan keluarga yang jelas.

Apa yang paling utama, setiap ahli keluarga perlu menitikberatkan soal agama dan iman serta memupuk mereka dengan nilai akhlak yang mulia.

“Selain itu, mencari rezeki yang halal juga merupakan perkara penting supaya sesebuah institusi kekeluargaan itu diberkati dan dirahmati Allah,” ujarnya.

Di akhir ceramah, beliau berpendapat kebahagiaan dan kecemerlangan institusi keluarga dalam Islam adalah memenuhi keperluan jasmaniah dan batiniah atau dunia dan akhirat. Ketenangan, kecintaan dan kasih sayang merupakan intipati kepada kecemerlangan sesebuah rumahtangga.

Maka, satu anjakan paradigma dari sikap yang buruk dan pengaruh jahiliah kepada acuan Islam yang pastinya memandu kita mewujudkan keluarga Islam yang harmoni lagi cemerlang dan berpegang pada al-Quran dan sunah sebagai petunjuk hidup kita.
Sumber: Utusan Malaysia, ruangan agama, 4 Disember 2007

Monday, June 4, 2007

Perkahwinan dan Kesejahteraan Jiwa


WAN ABDUL FATTAH WAN ISMAIL @ Utusan Malaysia



DI antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih-sayang dan belas-kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Ruum: 21)

Persoalannya, mengapakah semakin ramai golongan lelaki dan wanita bujang yang menolak perkahwinan? Kalau mungkin kerana tiada jodoh tidak mengapa. Tetapi yang lebih dibimbangi apabila mereka memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan atau tidak sanggup mengorbankan kerjaya.

Malah tidak kurang juga yang mengambil keputusan membujang kerana tidak pasti dengan kemampuan diri dalam mengharungi alam perkahwinan apatah lagi, dengan paparan kisah-kisah kerapuhan institusi kekeluargaan seperti pergolakan rumah tangga, penderaan emosi dan mental, perlakuan curang pasangan, campur tangan keluarga dan bebanan tanggungjawab yang tidak adil.

Wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, KAMARUL SYAMZARI KAMARUDDIN menemu bual pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Wan Abdul Fattah Wan Ismail bagi mengupas persoalan ini.

UTUSAN: Apakah ‘kerugian’ yang akan dialami oleh mereka yang menolak perkahwinan (‘Uzuuf) dengan pelbagai alasan remeh-remeh, sedangkan diketahui akan kelebihannya di sisi agama?

WAN ABDUL FATTAH: Menurut Syeikh Khalid Abdurrahman al-‘Ak, dalam kitabnya Adab al-Hayat al-Zaujiyyah, mereka yang menolak perkahwinan (al-‘Uzuuf) akan mengalami dua kerugian dan kemudaratan iaitu dari segi keduniaan dan agamanya (akhirat).

Kerugian di dunia yang dimaksudkan di sini ialah jiwa sentiasa di dalam keluh kesah dan tidak tenteram. Ini kerana antara hikmah perkahwinan ialah menjadikan jiwa manusia dalam keadaan tenteram, tenang dan lebih teratur seperti mana yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Ruum ayat 21 di atas.

Sementara itu, Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin ada menyatakan: “Tidak akan sejahtera hati seseorang yang dikuasai oleh syahwat melainkan dengan perkahwinan, apabila hati dalam keadaan kecelaruan seseorang itu tidak mampu melaksanakan ibadat dan pekerjaan-pekerjaan lain dengan sempurna”.

Menolak perkahwinan juga akan mengalami kerugian di dunia iaitu tidak memiliki zuriat keturunan, kerana memiliki zuriat yang sah merupakan antara matlamat sesuatu perkahwinan. Apatah lagi, apabila mati seseorang anak Adam itu maka terputuslah pahala di dunia ini, melainkan tiga perkara antaranya anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebahagiaan ibu bapa mereka.

Seseorang juga akan mengalami kerugian dari sudut keagamaan (akhirat). Dengan menolak perkahwinan besar kemungkinan akan terjebak dengan kemungkaran atau dosa-dosa besar yang mengakibatkan mereka diazab dengan azab yang dahsyat pada hari pembalasan nanti seperti dosa zina, jenayah rogol dan seumpamanya.

Perkahwinan sebenarnya menjadi benteng berlakunya perbuatan-perbuatan keji dan sabda Rasulullah bermaksud: Wahai pemuda pemudi, barang sesiapa di kalangan kamu mampu untuk berkawin, maka berkahwinlah, kerana dengan perkahwinan akan dapat menundukkan pandanganmu (dari memandang maksiat) dan menjaga kemaluanmu (dari melakukan zina). Dan sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin maka berpuasalah, kerana ia akan menjadi perisai bagimu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagaimana boleh dijelaskan kepada golongan yang belum berkahwin ini bahawa kesukaran dalam membina sebuah keluarga bahagia dan diredai itu adalah asam garam yang jika berjaya diatasi natijahnya begitu ‘manis’?

WAN ABDUL FATTAH: Pepatah Arab menyebut: “Kita tidak akan menuai hasil tanaman hari ini, selain daripada penat lelah pada semalamnya”. Sesuatu yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti susah sudah tentu akan membuahkan hasil yang baik pada masa akan datang.

Firman Allah: Dan orang-orang berjihad (untuk mencari keredaan) Kami, nescaya Kami benar-benar akan menunjuk jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat kebaikan. (al-Ankabut: 69)

Begitulah juga dalam kehidupan berkeluarga, sekiranya kita sanggup mengharungi segala dugaan dan ujian dalam melayani kerenah pasangan dengan penuh kesabaran di samping mendidik dan mengajar mereka, nescaya akan kita kecapi kemanisan dan kebahagiaan yang sejati di kemudian hari.

Isteri yang bersusah payah melayani suaminya tanpa menghirau penat lelah, siang atau malam, semata-mata untuk mendapat keredaan suaminya, maka akan diberi ganjaran syurga oleh Allah. Sabda Rasulullah bermaksud: “Mana-mana isteri yang meninggal dunia dan suami reda kepadanya maka ia akan dimasukkan ke syurga.” (Riwayat al-Tirmizi).

Selain itu, suami isteri yang berkerjasama mendidik dan mengajar anak-anak supaya mereka menjadi anak yang soleh dan berguna kepada agama, bangsa dan negara, nescaya anak tersebut akan menjadi saham yang amat bernilai apabila berhadapan dengan Allah kelak.

Kenyataan ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti yang dinyatakan di atas.

Ini membuktikan betapa berbaloi penat lelah selama ini, dengan nikmat yang diperoleh di kemudian hari dan kesemua ini mustahil dapat dikecapi melainkan dengan kesabaran dalam melayari bahtera rumah tangga.

Apakah asas-asas persediaan yang perlu ada bagi bakal pengantin sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan supaya rumahtangga yang dibina mempunyai hala tuju yang seiring dengan kehendak agama?

WAN ABDUL FATTAH: Sebelum menempuh alam rumah tangga dan bergelar suami atau isteri, terdapat banyak perkara asas yang perlu diketahui dan dipelajari. Secara umumnya asas-asas persediaan yang perlu ada pada bakal pengantin ialah pengetahuan agama.

Kebijaksanaan pasangan suami isteri meningkatkan ilmu pengetahuan sudah tentu dapat dijadikan panduan menangani masalah yang berkemungkinan berlaku dalam rumah tangga. Penghayatan mengenai ilmu agama sudah tentu memberi persediaan dalam menghadapi cabaran.

Sebab itulah Islam menekankan asas utama pemilihan pasangan adalah dilihat dari segi agamanya, sabda Rasulullah bermaksud: Wanita (termasuklah lelaki) kebanyakan dikahwini disebabkan oleh empat perkara: kerana harta, keturunan, rupa paras dan kerana agamanya, maka pilihlah yang ada agama nescaya kamu akan beruntung. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara ini disokong Dr. Muhammad Uqlah selain perkara-perkara seperti mempunyai pekerjaan atau sumber ekonomi bagi menyara keluarga dan lain-lain.

Sabda Rasulullah lagi: “Sesiapa yang mengahwini isteri kerana kedudukannya, tiadalah Allah tambah kecuali kehinaan, sesiapa yang menikahi isteri kerana hartanya, tiada ditambah oleh Allah kecuali kefakiran, tetapi sesiapa yang berkahwin kerana ingin menunduk pandangannya menjaga kehormatannya atau menghubung silaturahim Allah akan memberkati keduanya.” (Riwayat Imam al-Tabarani)

Mengapakah kesucian perkahwinan semakin dipandang serong oleh sesetengah orang?

WAN ABDUL FATAH: Sememangnya terdapat sesetengah pihak memandang serong kepada kesucian perkahwinan sehingga ada yang sanggup membujang hingga ke akhir hayat. Keadaan ini berlaku kerana beberapa faktor terutamanya kerana kecetekan ilmu dan kejahilan mengenai matlamat, tujuan dan hikmah perkahwinan itu sendiri. Di sebalik pensyariatan perkahwinan, terdapat hikmah-hikmahnya tersendiri yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan kepada manusia.

Antaranya seperti yang disebut dalam kitab Fiqh al-Manhaji, perkahwinan adalah bertujuan untuk memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia iaitu keinginan memiliki zuriat dan tuntutan syahwat.

Islam sebagai agama fitrah, menyahut tuntutan ini dengan menggariskan peraturan-peraturan yang jelas bagi memastikan keinginan tersebut dapat dipenuhi dengan cara syarie iaitu melalui perkahwinan.

Terdapat sesetengah agama melarang rahib-rahibnya daripada berkahwin dengan alasan untuk mendekatkan lagi hubungan dengan Tuhan. Fahaman ini berlawanan dengan fitrah semula jadi yang ada pada manusia dan akhirnya ia akan menyebabkan berlakunya perzinaan.

Oleh kerana itulah Rasulullah menengah umatnya dari meninggalkan sunah perkahwinan sekalipun mereka daripada ahli ibadat. “Sesungguhnya Rasulullah menegah al-tabattul iaitu meninggalkan perkahwinan dengan tujuan memberi penumpuan kepada ibadat.” (Riwayat al-Tirmizi).

Perkahwinan juga dapat membendung dan mengawal dari berlakunya keruntuhan akhlak dan moral masyarakat. Sekiranya syahwat tidak dapat dipenuhi secara syarie maka zina, rogol dan seumpamanya akan dijadikan alternatif. Perzinaan dan jenayah rogol memberi kesan yang amat besar kepada masyarakat kerana hasil daripada itu akan tersebarnya penyakit di dalam masyarakat seperti HIV, pembuangan bayi, pembunuhan dan sebagainya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila telah datang kepadamu (meminang) mereka yang baik dari segi agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah mereka. Sekiranya kamu tidak melakukannya (menolak pinangan tersebut atau tidak ingin berkahwin sedangkan mempunyai kemampuan) maka kamu akan mengundang fitnah dan kerosakan pada dunia.” (Riwayat al-Tirmizi).

Perkahwinan akan menjadikan masyarakat lebih teratur dan memberi ketenangan dan ketenteraman dalam hidup seperti firman Allah dalam surah al-Ruum.

Selain itu, terdapat pihak yang hanya melihat beberapa kes yang melibatkan keganasan dan keruntuhan rumah tangga. Namun dalam waktu yang sama mereka memejamkan mata daripada melihat jutaan keharmonian dan kedamaian hasil dari perkahwinan serta dapat banyak menyelesaikan permasalahan sosial dalam masyarakat. Keruntuhan rumah tangga berlaku kerana kelalaian pasangan yang tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar dan tidak memahami matlamat berumah tangga iaitu cuai melaksanakan tanggungjawab di dalam keluarga.

Apakah kesannya sekira umat Islam yang bujang ini tidak lagi berkeyakinan kepada institusi perkahwinan?

WAN ABDUL FATTAH: Menurut kitab Nizam al-Usrah fii al-Islam, sekiranya umat Islam memilih membujang ke akhir hayat kerana takut berdepan dengan alam rumah tangga, sebenarnya ia memberi kemudaratan yang amat besar kepada agama, akhlak atau nilai diri, masyarakat dan ekonomi. Kemudaratan dari sudut agama bermaksud apabila seseorang itu menolak perkahwinan maka mereka akan memilih jalan lain bagi memuaskan hawa nafsu iaitu terjebak dengan perbuatan zina, rogol dan seumpamanya. Ketahuilah zina akan menghapuskan kemanisan iman, mengotorkan hati dan menghapuskan kejernihan pada raut wajah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Berwaspadalah kamu dari perbuatan zina, kerana pada zina itu ada empat kecelaannya: menghilangkan cahaya pada muka, menyekat keberkatan rezeki, terputus daripada kasih sayang Allah dan penyebab untuk ia kekal di dalam neraka buat selamanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Menolak perkahwinan juga akan menyebabkan kemudaratan kepada akhlak dan moral. Mereka akan melakukan zina dan rogol bagi memenuhi kehendak nafsu dan terkeluar daripada prinsip akhlak dan kemuliaan seorang manusia. Sebaliknya bersikap seperti binatang yang tidak berakal. Keadaan ini boleh menjatuhkan kemuliaan manusia yang dianugerahi oleh Allah dan bertukar kepada kehinaan yang lebih dahsyat daripada darjat haiwan.

Kemudaratan kepada masyarakat hasil memilih jalan membujang ialah akan menyebabkan institusi kekeluargaan menjadi lemah disebabkan tidak ada zuriat yang berkualiti dilahirkan sebaliknya anak-anak hasil perzinaan jauh daripada pendidikan dan belaian kasih sayang.

Anak-anak yang dilahirkan tanpa kasih sayang dan pendidikan yang mantap akan menyebabkan mereka tidak mampu memikul tanggungjawab sama ada pada agama, bangsa atau negara.

Apabila akal manusia menjadi lemah disebabkan tekanan dalaman untuk berkahwin, namun dia menolak desakan jiwa kerana keegoaan dan hilang keyakinan terhadap perkahwinan akan menyebabkan tidak dapat memberi tumpuan sewajarnya kepada apa-apa pekerjaan yang dilakukannya. Hasil dari keadaan tersebut akan memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi dan negara.

Menolak perkahwinan bererti kita melawan fitrah semula jadi yang Allah jadikan kepada manusia dan sekiranya manusia melawan fitrah ini. Ia akan membawa kepada kemusnahan mereka sendiri. Rasulullah dan nabi-nabi juga berkahwin kerana tuntutan fitrah sedangkan mereka mampu untuk mengawal nafsu syahwat sekalipun tanpa berkahwin, bagaimana pula manusia lemah seperti kita.

Rasulullah menegur kepada mereka yang tidak mahu berkahwin kerana ingin menumpukan kepada ibadat semata-mata dalam hadis yang bermaksud: Akan tetapi aku juga bersolat, aku juga tidur, berpuasa, berbuka dan juga mengahwini wanita, barang siapa yang berpaling (menolak) dari sunahku maka ia bukan dari umatku. (Riwayat Bukhari dan Muslim).